Pages

Subscribe:

Labels

Saturday, October 16, 2010

Dunia Islam Perlukan Lebih Ramai 'Maher Zain'


Alhamdulillah, Selasa lepas saya berkesempatan menghadiri sebuah makan malam sempena kosert amal bersama Maher Zain yang diadakan di Shah Alam Convention Center (SACC).
Konsert amal ini diadakan untuk mengumpul dana bagi Raudhatus Sakinah dan Islamic Information & Services (IIS) Foundation.

Saya mula mendengar lagu-lagu Maher Zain selepas salah seorang co-founder iLuvislam.com, saudara Firdaus Rahim menghantar email kepada krew-krew iLuvislam.com beberapa bulan lalu.
Sejak itu, saya terus tertarik dengan lagu-lagu beliau. Satu per satu saya dengar sambil membaca liriknya.
Ternyata hasil kerja beliau dan Awekening Record adalah luar biasa - mampu menyentuh hati saya sebagai pendengar.
Semoga Allah SWT merahmati usaha dan kerja mereka.


Fenomena

Hanya selepas beberapa bulan, Maher Zain telah berjaya mencipta satu fenomena yang saya kira sangat positif.
Hasil karya beliau dan Awakening Records bukan sahaja mampu menarik minat golongan 'islamik' untuk meminatinya, malah ramai juga golongan 'biasa-biasa' yang menjadi peminat beliau.

Berdasarkan pemerhatian saya, lagu-lagu Maher Zain secara keseluruhannya berkisar tentang ketuhanan, kesedaran, kesyukuran, perpaduan dan kasih sayang - elemen-elemen yang penting dalam hidup kita sebagai seorang manusia dan hamba Allah SWT.

Menariknya tiada satu pun lagu yang berkisar tentang cinta songsang muda-mudi yang selalunya diketengahkan oleh artis-artis nasyid tempatan (Malaysia).
Mungkin ia boleh menjadi satu 'point' penting yang perlu dicakna oleh artis-artis kita.
Hari ini kita tidak boleh memisahkan masyarakat dengan muzik.

Namun tidak banyak muzik yang mampu mendidik jiwa dan sedikit yang mampu mendekatkan diri kita dengan Allah SWT.

Kebanyakan anak muda lebih menggemari lagu Justin Bieber daripada lagu Aeman
Sebahagian anak remaja pula merasakan bahawa mendengar lagu nasyid sama sahaja seperti mendengar lagu jiwang nyanyian artis bukan nasyid.

Maher Zain Menjadi Bukti

Pada pandangan saya, kehadiran Maher Zain membuktikan bahawa lagu nasyid mampu menarik minat masyarakat mendekati Islam. Buktinya kita boleh lihat apabila Maher Zain datang ke Malaysia sempena 'road tour' beliau.

Peminat beliau bukan sekadar anak remaja, malah juga golongan dewasa.
Semasa konsert yang saya hadiri Selasa lepas, ramai peminat yang bertaraf 'nenek' turut menghafal lagu beliau.
Ketika konsert juga, saya lihat peminatnya bukan sahaja terdiri daripada golongan 'kuat agama' tetapi golongan 'huha-huha' turut mendengar dan menghafal lagunya.
Seronok hati saya melihat keadaan ini.

Saya doakan agar lebih ramai 'Maher Zain' yang bakal lahir di dunia ini supaya lebih ramai manusia mampu menemui semula keindahan Islam melalui muzik. Insya-Allah dengan izinNya.

Friday, October 15, 2010

Ada Hikmahnya

Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda.
 Mereka amat menyayangi kuda itu.
Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran.
Orang kampung yang tahu akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, "Kami simpati atas kehilangan kuda kesayangan Tok.
Tentu Tok sedih.."
Sebaliknya,Tok Penghulu tersenyum lalu berkata,

 "Tak apalah. Mesti ada hikmahnya."

"Apa hikmahnya Tok?"
"Tok pun tak tahu. Tapi pasti ada hikmahnya."

Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar.
Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.
"Tok bertuahlah.Untung." Begitulah kata mereka.
Tok Penghulu sebaliknya berkata,

 "Belum tentu lagi.Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya."

Anak lelaki Tok penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya.
Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil mengembala kuda-kuda liar yang lain.
Entah bagaimana pada satu hari, anak Tok Penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu tangan kanannya patah.
Orang kampung tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu.
Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.
"Malang benar nasib tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula," kata mereka.
Tok Penghulu tersenyum dan berkata,

 "Ini ujian Allah. Tentu ada hikmahnya."

Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu.
Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.
"Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!" Arah ketua tentera.
Semua ibubapa kampung itu risau dan sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka.
Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.
"Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!" Kata ketua tentera sambil menunding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.
Pada ketika itu, terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka...

"Mesti ada hikmahnya."


Pengajaran: Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat daripada sudut yang baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun didalam hati sentiasa mengharap kebaikan disebaliknya daripada Allah SWT.