Pages

Subscribe:

Labels

Saturday, October 16, 2010

Dunia Islam Perlukan Lebih Ramai 'Maher Zain'


Alhamdulillah, Selasa lepas saya berkesempatan menghadiri sebuah makan malam sempena kosert amal bersama Maher Zain yang diadakan di Shah Alam Convention Center (SACC).
Konsert amal ini diadakan untuk mengumpul dana bagi Raudhatus Sakinah dan Islamic Information & Services (IIS) Foundation.

Saya mula mendengar lagu-lagu Maher Zain selepas salah seorang co-founder iLuvislam.com, saudara Firdaus Rahim menghantar email kepada krew-krew iLuvislam.com beberapa bulan lalu.
Sejak itu, saya terus tertarik dengan lagu-lagu beliau. Satu per satu saya dengar sambil membaca liriknya.
Ternyata hasil kerja beliau dan Awekening Record adalah luar biasa - mampu menyentuh hati saya sebagai pendengar.
Semoga Allah SWT merahmati usaha dan kerja mereka.


Fenomena

Hanya selepas beberapa bulan, Maher Zain telah berjaya mencipta satu fenomena yang saya kira sangat positif.
Hasil karya beliau dan Awakening Records bukan sahaja mampu menarik minat golongan 'islamik' untuk meminatinya, malah ramai juga golongan 'biasa-biasa' yang menjadi peminat beliau.

Berdasarkan pemerhatian saya, lagu-lagu Maher Zain secara keseluruhannya berkisar tentang ketuhanan, kesedaran, kesyukuran, perpaduan dan kasih sayang - elemen-elemen yang penting dalam hidup kita sebagai seorang manusia dan hamba Allah SWT.

Menariknya tiada satu pun lagu yang berkisar tentang cinta songsang muda-mudi yang selalunya diketengahkan oleh artis-artis nasyid tempatan (Malaysia).
Mungkin ia boleh menjadi satu 'point' penting yang perlu dicakna oleh artis-artis kita.
Hari ini kita tidak boleh memisahkan masyarakat dengan muzik.

Namun tidak banyak muzik yang mampu mendidik jiwa dan sedikit yang mampu mendekatkan diri kita dengan Allah SWT.

Kebanyakan anak muda lebih menggemari lagu Justin Bieber daripada lagu Aeman
Sebahagian anak remaja pula merasakan bahawa mendengar lagu nasyid sama sahaja seperti mendengar lagu jiwang nyanyian artis bukan nasyid.

Maher Zain Menjadi Bukti

Pada pandangan saya, kehadiran Maher Zain membuktikan bahawa lagu nasyid mampu menarik minat masyarakat mendekati Islam. Buktinya kita boleh lihat apabila Maher Zain datang ke Malaysia sempena 'road tour' beliau.

Peminat beliau bukan sekadar anak remaja, malah juga golongan dewasa.
Semasa konsert yang saya hadiri Selasa lepas, ramai peminat yang bertaraf 'nenek' turut menghafal lagu beliau.
Ketika konsert juga, saya lihat peminatnya bukan sahaja terdiri daripada golongan 'kuat agama' tetapi golongan 'huha-huha' turut mendengar dan menghafal lagunya.
Seronok hati saya melihat keadaan ini.

Saya doakan agar lebih ramai 'Maher Zain' yang bakal lahir di dunia ini supaya lebih ramai manusia mampu menemui semula keindahan Islam melalui muzik. Insya-Allah dengan izinNya.